Selasa, 4 Mei 2010

Lahir generasi berilmu, beriman

Teks Hamid Karim

KANAK-kanak prasekolah wajar dipersiapkan dengan keyakinan termasuk ilmu agama sebagai benteng pembentukan diri sebelum melangkah ke alam sekolah rendah.

Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) menyedari keperluan itu dan mengambil inisiatif menganjurkan perkhemahan tahunanKem Anak Solehkepada lebih 300 tadika Islam yang berdaftar di bawah persatuan itu.

Menurut Pengerusi Biro Latihan Pertim, Anizah Samah, bagi perkhemahan kali ketiga yang baru berakhir, seramai 150 kanak-kanak berusia enam tahun dari sekitar Lembah Klang mengikuti program dua hari itu.

Program yang berlangsung di Kem Bumi Jati Klang itu mengutamakan beberapa modul pembentukan sikap kanak-kanak termasuk penekanan dalam penggunaan warna dan objek dari sumber alam.

Pertim mempunyai objektif melahirkan kanak-kanak prasekolah yang beriman, berilmu dan bertakwa sebaik mereka melangkahkan kaki memasuki tahun satu di sekolah rendah,” kata Anizah.

Menerusi perkhemahan itu, kanak-kanak turut menjalani modul penerapan jiwa yang mendidik mereka agar sentiasa mematuhi arahan ibu bapa, guru dan menjauhi perbuatan tidak berfaedah selain sentiasa berbaik-baik dengan kawan-kawan tanpa mengira bangsa atau agama.

Paling memberi kesan ialah kerja latihan luar membabitkan modul semangat setia kawan dan kerjasama yang disediakan kepada semua peserta program seperti melukis beramai-ramai dan memperkukuh kreativiti menerusi reka bentuk objek daripada bahan buangan.

Beliau mengakui perkhemahan pada peringkat awal usia itu turut bermanfaat sebagai benteng serta membangkitkan kesedaran mencegah kanak-kanak daripada terpengaruh dengan gejala sosial apabila mereka mula menempuh alam persekolahan.

Malah beliau turut bersetuju kebanyakan peserta program itu menunjukkan peningkatan dari segi sikap dan kematangan berdasarkan beberapa ujian dan temu tanya yang dijalankan secara bersemuka.

Berdasarkan pengalaman lalu, Anizah mengakui perkhemahan serupa itu memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak prasekolah, malah sebahagian besar mereka menunjukkan perkembangan mendadak apabila memasuki sekolah rendah.

Majlis penutup program anak soleh itu dilakukan Datuk Nahrawi Hashim, pengerusi Pertim yang juga bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bagi perkhemahan untuk kali keempat Pertim menjemput semua tadika yang berdaftar menghubungi setiausaha kehormat persatuan itu untuk menempah tempat.


©New Straits Times (M) Berhad

19. KAJIAN STATUS PENDIDIKAN PRASEKOLAH (1983)

 
     Kajian ini merupakan kajian menyeluruh ke atas pendidikan
prasekolah di Malaysia bagi jangkamasa 1982-1984 dan telah
dijalankan dengan biayaan UNICEF. Kajian ini bertujuan untuk
memberikan satu gambaran mengenai situasi pendidikan prasekolah
pada tempoh tersebut. Secara terperinci kajian ini meneliti
situasi prasekolah dari segi bilangan institusinya, agensi-
agensi terlibat dan jumlah kanak-kanak yang mengikuti pendidikan
prasekolah; pola-pola penyertaan pendidikan prasekolah dari segi
status sosial ekonomi keluarga dan lokasi sekolah; kelayakan
akademik dan ikhtisas serta pengalaman guru-guru terlibat;
struktur organisasi pendidikan prasekolah; orientasi, pendekatan
pendidikan dan penekanan kurikulum pusat-pusat pendidikan
prasekolah; aspek kemudahan fizikal, peralatan kurikulum dan
kewangan pusat-pusat pendidikan dari segi pendaftaran dan
pengawasan pusat-pusat pendidikan prasekolah.
 
     Kajian ini telah melibatkan pusat-pusat pendidikan
prasekolah yang dikelolakan oleh agensi-agensi kerajaan dan juga
swasta. Data kajian ini telah dianalisis menggunakan peratusan.
Perkara-perkarra yang telah dianalisis di antara lain ialah dari
aspek kewangan, pendapatan keluarga, penyertaan kanak-kanak
mengikut lokasi dan golongan ethnik.
 
     Kajian ini menunjukan terdapat 31 buah agensi yang
mengelolakan pusat pendidikan prasekolah. Enrolmen kanak-kanak
tadika telah meningkat dari 120,618 orang pada tahun 1979 kepada
259,711 pada tahun 1983. Penguatkuasaan keperluan Akta Pelajaran
1961 mengenai pendidikan prasekolah tidak dapat dijalankan dengan
berkesan oleh kerana kekurangan kakitangan yang terlatih untuk
menjalankan pengawasan, penyeliaan dan pengawalan terhadap
pusat-pusat pendidikan prasekolah. Kajian ini juga telah dapat
mengenalpasti beberapa masalah yang dihadapi  oleh agensi-agensi
penganjur dari segi organisasi dan pengurusan pendidikan
prasekolah.  
 
     Satu keadaan yang kurang memuaskan ialah wujudnya
kepelbagaian peringkat kelulusan dan kelayakan ikhtisas di
kalangan pentadbiran dan guru tadika. Kurikulum pengajaran
pembelajaran dibentuk dengan bebas setiap agensi yang terlibat
untuk memenuhi matlamat dan kehendak masing-masing. Keadaan
pengajaran dan kandungan struktur kurikulum; perbezaan juga wujud
dalam kemudahan fizikal serta peralatan kurikulum yang disediakan.
 
     Tadika-tadika kerajaan dan persatuan sukarela yang menampung
kanak-kanak dari golongan sosial ekonomi rendah menggunakan yuran
yang rendah. Tadika-tadika swasta menggunakan yuran yang tinggi
dan menampung kanak-kanak dari golongan pendapatan tinggi sahaja.